PESTA
SONGKRAN
Songkran merupakan perayaan
tahun baru tradisional Siam. Masyarakat Siam di Kelantan turut menyambut
perayaan tahun baru ini. Perayaan ini juga dikenali sebagai pesta Songkran.
Songkran disambut
berdasarkan kepada Kalendar lunar Siam iaitu pada bulan kelima semasa bulan
purnama dan jatuh pada hari kelima belas. Sekiranya mengikut kalendar masihi,
pesta Songkran ini disambut pada pertengahan bulan April.
Pesta Songkran ini juga
lebih dikenali sebagai pesta mandi air iaitu mereka akan menyimbah air sesama
mereka dan juga kepada orang ramai. Kebetulan pesta Songkran ini adalah jatuh
pada hari yang terpanas dalam satu tahun.
Dalam konteks, Negara
Malaysia yang berbilang kaum, kebudayaan dan adat resam, pesta Songkran menjadi
simbol perpaduan, kemakmuran dan keamanan dengan penyertaan pemimpin-pemimpin
dan masyarakat yang berbilang kaum.
Semangat dan
nilai-nilai murni yang sejagat dalam Perayaan Songkran seperti berbudi bahasa,
menghormati budi dan penghargaan terhadap orang tua, bersopan santun dan
bersyukur adalah nilai teras pembentukan masyarakat Malaysia yang berbudi
bahasa.
HARI
RAYA AIDILADHA
Hari Raya Aidiladha
atau juga disebut Hari Raya Korban dan Hari Raya Haji merupakan perayaan agama
yang disambut oleh seluruh umat Islam di dunia. Hari raya ini menandakan
berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, iaitu sehari selepas
jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah.
Orang-orang Islam
menyambut Aidiladha pada tanggal 10 Zulhijjah pada setiap tahun. Malah, bulan
ini merupakan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam. Perkataan 'Aidiladha'
berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud 'hari penyembelihan korban'.
Ini sempena memperingati kisah Nabi Ibrahim A.S yang diperintahkan oleh Allah
S.W.T agar menyembelih anaknya, iaitu Nabi Ismail A.S.
Walaupun dengan hati
yang amat berat, Nabi Ibrahim terus taat dengan suruhan Allah untuk menyembelih
anaknya. Walau bagaimanapun, Allah telah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor
kibas.
Sehubungan dengan itu,
sebagai mengingati perintah Allah kepada Nabi Ismail ini, masyarakat Islam yang
berkemampuan digalakkan menyembelih binatang seperti kambing atau lembu sebagai
korban pada hari raya ini. Daging sembelihan ini akan dibahagikan, terutamanya
kepada fakir miskin.
Sambutan Hari Raya
Aidiladha di Malaysia, biasanya dimulakan dengan bacaan takbir dan tahmid
secara berjemaah di masjid. Selepas itu, disusuli pula dengan sembahyang sunat
Aidiladha pada waktu pagi. Kemudian bacaan khutbah akan diperdengarkan yang
berkisarkan tentang pengorbanan dan perjuangan Nabi Ibrahim.
Selepas habis mendengar
khutbah, umat Islam akan mengambil kesempatan berkunjung ke rumah saudara mara
dan sahabat handai untuk mengeratkan silaturahim sambil menjamu selera dengan
juadah istimewa. Acara penyembelihan korban pula akan diadakan selepas itu dan
tiga hari berikutnya, iaitu pada 11, 12, dan 13 hari Tasyrik. Seluruh
masyarakat akan bersama-sama membuat kerja-kerja penyembelihan tersebut.
Sambutan Hari Raya
Aidiladha di Malaysia, biasanya disambut meriah oleh masyarakat di pantai
timur, berbanding dengan masyarakat Islam di sebelah pantai barat yang
menyambutnya dengan cara yang agak sederhana.
HARI WESAK
Hari Wesak merupakan hati terpenting bagi penganut agama
Buddha kerana hari Wesak melambangkan kelahiran, kesedaran, dan kematian
Gautama Buddha. Penganut Buddha akan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi
untuk memusatkan fikiran kepada lapan prinsip "Precepts" sementara
para sami yang memakai sarung kuning akan membaca kitab Buddha
"Sutras". Hari Wesak juga dikenali dengan nama Visakah Puja atau
Buddha Purnima di India, Vesak di Singapura, Visakha Bucha di Thailand, dan
Wesak di Sri Lanka.
Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan
burung merpati. Hari Wesak juga merupakan hari memberi makan kepada orang
miskin dan sedekah kepada para sami. Hari Wesak dirayakan oleh semua penganut
agama Buddha di seluruh dunia.
Dikalangan penganut Buddha di Singapura dan Taiwan, terdapat
amalan mencederakan diri ketika menyambut hari Wesak seperti berjalan di atas
bara api sebagai menyambut hari kelahiran dewa Bao-sheng Da-di.
1.
Ia
dirayakan dalam bulan Mei pada waktu terang bulan (purnama sidhi) untuk
memperingati tiga peristiwa penting, iaitu:
·
Kelahiran
Siddharta Buddha di Taman Lumbini pada tahun 623 S.M.
·
Siddharta
Buddha mendapat ilham Agung dan menjadi Buddha di Buddha-Gaya pada usia 35
tahun di tahun 588 S.M.
·
Buddha
Gautama mangkat di Kusinara pada usia 80 tahun di tahun 543 S.M.
HARI
DEEPAVALI
Hari Deepavali (Bahasa
Tamil: தீபாவளி)
merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di
seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia.
Perkataan Deepavali
merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan
"Gavali" yang beerti barisan. Perayaan Deepavali ini disambut pada
hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalender Tamil (antara bulan Oktober dan
November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.
Menurut lagenda, Raja
Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan
dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri meminta semua manusia
agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka
yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa
agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.
Pelita yang dipasang
dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi
melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai
perayaan Deepavali.
Pada pagi Deepavali,
penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan penyucian badan
dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru,
penganut Hindu akan mengunjungi kuil dimana patung dewa Hindu akan dikalungkan
dengan kalungan bunga.
Pada pintu masuk rumah
penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang dilakarkan
di atas tanah yang biasanya diperbuat daripaja bijiran pelbagai warna akan
diletakkan. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang penyembahan dewa Lakshimi,
Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi rumah mereka yang
mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah mereka.
"Kolam"
merupakaan upacara keagamaan bagi penganut Hindu dan orang Islam adalah
dilarang mengikutnya.
HARI NATAL
Hari Natal (Krismas)
merupakan perayaan menyambut kelahiran Jesus Christ di Bethlehem yang disambut
oleh semua pengikut ugama Nasarani di dunia. Bagaimanapun, kajian menunjukkan
Hari Natal bukanlah tarikh sebenar kelahiran Jesus Christ.
Perayaan hari Natal
bermula dengan menghiasi pokok Krismas di rumah dan di gereja. Ahli keluarga
bertukar hadiah pada hari Natal dengan meletakkannya di bawah pokok krismas.
Teater Krismas, parti nyanyian keugamaan (Carol) akan diadakan.
Derma akan diberikan
kepada golongan yang tua dan miskin. Secara tradisi, hadiah akan diberikan oleh
Santa Claus kepada mereka yang memerlukan. Pada masa sekarang, perayaan hari
Natal bersifat lebih komersial di mana gedung-gedung jualan akan berhias dan
membuat persediaan jualan hari Natal semenjak awal Disember lagi.
HARI KEAMATAN
Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai ini disambut
oleh kaum Kadazans / Dusuns sebagai meraikan tuaian yang baik, tetapi Pesta
Kaamatan juga disambut oleh semua kaum lain di Sabah. Pesta Kaamatan biasanya
disambut sepanjang bulan Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu
cantik, tarian tradisi, dan upacara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan
"ketua pendita"
Pesta Kaamatan bagi kaum Kadazan juga dikenali
sebagai 'Tadau Ka'amatan'. Kaum Kadazan percaya kepada makhluk halus dan mereka
mempercayai terdapat lima jenis makhluk halus yang dikenali sebagai :-
Kinoingan, Ketua makluk halus dan Pencipta , Rusad semangat semua benda hidup
kecuali manusia, Koududuvo semangat manusia, Tombivo semangat orang yang telah
meninggal, dan Rogon semangat jahat.
Menurut kepercayaan orang Kadazan, semangat
padi merupakan sebahagian daripada Kinoingan - yang juga dikenali sebagai
Bambaazon, yang disembah sebagai pencipta dan amat berkuasa sumber kepada
kehidupan dan kewujupan. Semangat padi Bambaazon amat dimuliakan pada pokok
padi, beras, dan nasi. Ramai yang mempercayai bahawa "Tanpa padi, tiada
kehidupan."
Ketika pesta Kaamatan, penduduk Sabah
mengenakan pakaian tradisi mereka dan bersuka-ria sepanjang hari. Minuman tapai
"arak beras" dihidangkan sebagai minuman istimewa Pesta Kaamatan.
Penduduk Sabah akan menyapa sesama mereka dengan ucapan 'Kopivosian Tadau
Ka'amatan' atau 'Selamat Hari Menuai'.
HARI
GAWAI
Perayaan Gawai disambut
oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim
menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Pesta Gawai pada
kebiasaannya disambut pada akhir bulan May atau awal bulan Jun setiap tahun.
Perayaan ini selalunya disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak pada 1 hb Jun
setiap tahun.
Pesta Gawai di Sarawak
disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian,
minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Kuih-muih tradisional yang
diperbuat daripada tepung beras, gula dan santan juga disediakan. Pesta Gawai
di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.
Perayaan Gawai Dayak
bermula dengan upacara membuang sial oleh Tuai Gawai. Tuai Gawai memulakan
upacara ‘miring’ ini diruai (beranda) rumah panjang. Beliau berdoa supaya
dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Pada jam 12.00 malam upacara minum air
pengayu dilakukan dengan harapan supaya panjang umur, sihat dan makmur. Pada
pagi 1 hb Jun, tepat jam 7.00 pagi, tuai rumah dengan diiringi oleh beberapa
penghuni rumah panjang menghantar piring persembahan ke tiang pengingat iaitu
sejenis kayu yang sering digunakan untuk mendirikan rumah panjang.
Pada hari pesta Gawai,
pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan
Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang
daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan
persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap
sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai.
Setelah upacara
persembahan telah selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh
masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk
kedalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Perayaan berpusat
sekitar ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa
untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak.
Salah satu acara paling
menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Penari akan menunjukkan
kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.
Ketika perayaan Gawai,
perhiasan tradisional Orang Ulu yang diperbuat daripada manik-manik yang
diwarisi turun temurun dan tidak ternilai harganya, akan dipakai untuk
dipamirkan. Anak dara orang Iban juga akan mengenakan perhiasan perak yang
menonjolkan lagi kecantikan paras rupa mereka.
Pesta Gawai dianggap
berakhir apabila ranyai atau pokok istiadat dibuang.
HARI
CHAP GOH MEI
Lima belas hari selepas
Tahun Baru Cina merupakan hari Chap Goh Mei disambut sebagai menandakan berakhirnya
perayaan Tahun Baru Cina.
Pesta Chap Goh Mei
disambut dengan mengadakan upucara sembahyang secara besar-besaran, di mana
colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga
api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap Goh Mei.
Chap Goh Mei juga
dianggap sebagai malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian
serba indah dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang
secucuk.
Terdapat juga amalan
melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat
pasangan. Buah limau yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan
yang sesuai.
Persembahan kebudayaan
Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei
seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, dan mengimbang bendera
besar "Chingay".
TAHUN BARU CINA
Perayaan ini disambut
secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan
kedatangan tahun baru menurut kalender mereka.
Orang Cina percaya ada
12 binatang yang menaungi kalender mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab,
naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi.
Pada malam Tahun Baru
semua ahli keluarga berkumpul untuk mengeratkan perhubungan sesama keluarga.
Pemberian ‘angpau’ juga dilakukan oleh mereka yang sudah berumahtangga.
Perayaan Chap Goh Mei diadakan sebagai penutup perayaan Tahun Baru Cina.
HARI
THAIPUSAM
Hari Thaipusam
merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh
dunia. Perayaan ini bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Lord Murugan. Perayaan
ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga
sebagai bulan 'Thai'.
Bagi penganut yang
beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan
bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.
Sebelum menyambut
Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan
membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur
sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil. Dua puluh empat jam sebelum
menyambut Thaipusam pula, mereka akan berpuasa sepenuhnya.
Masyarakat yang
beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di
Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di sini.
Pada hari Thaipusam,
penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu anak bongsu
Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi. Selain itu,
antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan
membawa 'kavadi', iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas
berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini adalah
sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.
Bagi sesetengah
penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi
kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan
dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa
'kavadi'. Biasanya, pembawa 'kavadi' ini berada dalam keadaan terpukau sambil
mengikut rentak lagu yang dimainkan.
Di Malaysia, pembawa
'kavadi' ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves sehingga
sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa. Selain itu,
penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu, dan susu untuk
dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.
Perayaan Thaipusam di
Malaysia, biasanya disambut secara meriah bagi masyarakat yang beragama Hindu.
Perayaan ini turut mendapat perhatian daripada masyarakat yang berbangsa lain.
Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong yang datang dan merakamkan suasana
menarik semasa sambutan perayaan ini.
MAULIDUR
RASUL
Perkataan 'maulid'
berasal daripada Bahasa Arab yang bermaksud hari lahir seseorang. Apabila
disebut 'Maulidur Rasul', umum memahami ungkapan ini bermaksud hari keputeraan
Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan di Tanah
Suci Makkah pada 20 April tahun Masihi 571 bersamaan 12 Rabiulawal Tahun Gajah.
Oleh yang demikian, hari
maulid ini dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia. Negara kita turut
memuliakan dan merayakan hari maulid. Hari maulid ini menjadi hari cuti umum di
negara kita kerana agama Islam merupakan agama rasmi di negara ini.
Maulidur Rasul disambut
dan dirayakan dengan berbagai-bagai cara di negara kita. Setiap kerajaan negeri
akan mengadakan sambutannya secara besar-besaran.
Lazimnya, mengadakan
syarahan memperingati Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W, orang ramai
berselawat, perarakan, dan lain-lain. Di kalangan masyarakat pula, mereka
mengadakan majlis berselawat dan jamuan. Sambutan ini diadakan di rumah dan
masjid. Di sesetengah tempat pula, mereka mengadakan majlis membaca riwayat
maulid, iaitu sebuah kitab yang ditulis khas tentang riwayat hidup Nabi
Muhammad S.A.W.
HARI
RAYA AIDILFITRI
Pada tanggal 1 Syawal
tahun Hijrah, seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya
Aidilfitri. Di Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya
Puasa. Hari raya ini setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.
Sambutan Hari Raya
Aidilfitri ini akan ditentukan harinya apabila anak bulan Syawal (rukyah) dapat
dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut hisab berdasarkan Takwim
Tahun Islam. Kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1 Syawal itu, pada
malamnya, umat Islam akan beramai-ramai bertakbir hari raya di masjid atau pun
surau.
Keesokan harinya, semua
umat Islam, lelaki dan perempuan akan ke masjid untuk menunaikan sembahyang
sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah. Di negara kita, sambutan Hari Raya
Aidilfitri ini disambut secara meriah pada setiap tahun.
Bermula seawal bulan
Ramadan lagi, umat Islam akan membuat persiapan tertentu untuk menyambut
kedatangan hari raya ini. Antara tradisi umat Islam di negara ini, menjelang
kedatangan 1 Syawal ini, adalah dengan menyediakan pakaian baru untuk keluarga,
menghias rumah, dan membuat berbagai-bagai jenis kuih tradisi untuk dihidangkan
kepada para tetamu yang datang berkunjung ke rumah.
Selain itu juga, umat
Islam diwajibkan membayar zakat fitrah bagi setiap anggota keluarga. Kadar
nilai zakat ini ditentukan oleh harga semasa beras, iaitu makanan asasi rakyat
di negara kita.
Masyarakat Islam di Malaysia,
biasanya mengambil peluang cuti pada hari raya ini untuk pulang ke kampung dan
menyambut hari raya bersama-sama keluarga dan ibu-bapa masing-masing. Pada pagi
hari raya pertama, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan
maaf kepada ibu bapa, suami atau isteri dan dari yang muda kepada yang tua.
Selepas itu, dalam tradisi kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan
sahabat handai juga, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan,
di samping mengeratkan silaturrahim.
Pada hari raya
Aidilfitri juga, umat Islam akan meyediakan berbagai-bagai jenis juadah
tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol, dan lain-lain lagi
untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka. Bagi
kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian yang
baru serta mendapat duit raya apabila beraya dengan orang dewasa. Amalan
memberi duit raya ini adalah suatu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam
di negara kita pada hari raya, iaitu untuk bersedekah dan menggembirakan
anak-anak yang masih muda.
Selain itu, pada hari
raya juga, umat Islam di Malaysia mengambil kesempatan untuk berkunjung ke
pusara ahli keluarga dan saudara mara. Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri
di Malaysia lebih bermakna pada hari ini dengan konsep rumah terbuka yang
dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.
Kerajaan juga telah
mengadakan rumah terbuka peringkat kebangsaan untuk meraikan hari raya
Aidilfitri ini dengan berbagai-bagai acara dan juadah istimewa kepada seluruh
masyarakat yang hadir. Konsep rumah terbuka ini dapat menyatupadukan seluruh
rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk bersama-sama
menyambut perayaan ini dengan penuh rasa gembira dalam suasana harmoni.
A Review of Casinos - DrmCD
ReplyDeleteThe slots and table games in question were 울산광역 출장마사지 developed by renowned game provider Microgaming. Microgaming has 김제 출장샵 developed slots and 포항 출장샵 table games for its 광양 출장마사지 Rating: 5 · Review by 광양 출장안마 Bill Grinstead